Al-Quran Sebagai Sumber Inspirasi..


Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan ajaran Islam.
Al-Quran Sebagai Sumber Inspirasi
Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadankannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.
Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini.
Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, 'ratq' bermaksud 'bercantum' dan fataq yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan'.
Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun.
Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.
Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.